My School

Sejarah dan Latarbelakang Sekolah
Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Samad dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Rendah Tanjong Ipoh. Ketika itu sekolah ini hanya mempunyai 3 blok bangunan. Sebelum bangunan-bangunan ini digunakan pada tahun 1965, pelajar-pelajar menumpang di Sekolah Kebangsaan Dato' Idris sejak tahun 1961. Pada tahun 1971, sekolah ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Dato' Hussein Onn (kini Allahyarham Tun), bekas Menteri Pendidikan Malaysia.
Bagi menampung pertambahan bilangan pelajar, bangunan Sekolah Kebangsaan Dato' Idris dicantumkan dengan bangunan yang sedia ada di samping membina bangunan-bangunan baru. Bangunan-bangunan ini mula digunakan pada tahun 1978 dan pelajar-pelajar sekolah rendah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Tanjong Ipoh (kini SKDI).
Di antara bangunan baru yang dibina bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran dan pengajaran ialah makmal sains, perpustakaan, bilik sumber, bilik Alat Pandang Dengar (APD) dan bilik KBSM.

Asal Nama Sekolah
Pada asalnya, sekolah ini bernama Sekolah Menengah Rendah Tanjong Ipoh. Pada tahun 1960, seorang anak watan telah berjaya dalam bidang politik dan menyandang jawatan penting dalam Kabinet Malaysia ketika itu. Beliau ialah Dato' Abdul Samad Idris (kini Tan Sri) bekas Menteri Kebudayaan dan Sukan.
Sempena mengenangi jasa dan kejayaan anak watan ini maka sekolah ini telah dinamakan semula sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Samad.

Lokasi Sekolah

Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Samad adalah sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan dan terletak di pinggir pekan Tanjung Ipoh. Tanjung Ipoh merupakan sebuah pekan yang menjadi pusat bagi kawasan sekitarnya seperti Kampung Talang, Ulu Bendul, Seri Menanti dan Ampang Tinggi. Ia terletak di antara perjalanan dari Kuala Pilah ke Seremban. Kedudukan sekolah adalah strategik kerana tidak sunyi dari kemajuan suasana dan sesuai untuk menggalakkan pembelajaran.

Kemajuan Sekolah

Pencapaian keputusan peperiksaan awam yang baik telah membolehkan sekolah ini memulakan Aliran Sains pada tahun 1982 dan Tingkatan Enam pada tahun 1988.
Di samping itu, sekolah ini telah banyak memperolehi kejayaan-kejayaan lain yang boleh dibanggakan bukan sahaja di kalangan masyarakat sekolah malah di kalangan masyarakat tempatan juga. Di antara kejayaan-kejayaan yang diperolehi adalah :
  • Sekolah Harapan Negara Luar Bandar pada tahun 1991.
  • Johan Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Alam Sekitar Sekolah Negeri Sembilan pada tahun 1991.
  • Mendapat Anugerah 4P (Peningkatan Purata Pencapaian Pendidikan) pada tahun 1993.
  • Mendapat Pengiktirafan Gred A bagi Bengkel Kemahiran Hidup pada tahun 1993.


Lencana Sekolah dan Falsafahnya
Warna biru satu ikatan yang didukung oleh slogan "Ilmu Suluh Kehidupan"
1. Warna Biru
Lambang kecintaan terhadap Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Samad (SMKDAS) yang tidak berbelah bagi. Menyayangi, menjaga, mengurus dan membangunkan secara bersama.
2. Satu Ikatan
Perpaduan ahli mesyuarat mendukung cita-cita sekolah yang tidak dapat diganggu-gugat. Kemas tidak terurai.
3. Ilmu Suluh Kehidupan
Tanpa berilmu seseorang itu akan gelap masa depannya. Oleh itu, untuk menerangi masa depannya, pelajar, guru dan kakitangan sokongan harus menyiapkan diri dengan kesempurnaan ilmu yang total.

               Misi Sekolah
 
S
Sentiasa
M
Menghayati dan Merealisasikan
K
Kecemerlangan
D
Dalam
A
Akademik
dan
S
Sahsiah

                       Visi Sekolah
 
Menjelang 2020,
Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Samad (SMKDAS)
Dapat melahirkan pelajar yang berketrampilan berteraskan Sains
dan berakhlak mulia.

                Piagam Pelanggan
1. Penerimaan pelajar tanpa syarat.
2. Pendidikan berkualiti.

3. Bimbingan yang berterusan dan menyeluruh.

4. Prihatin dan penyayang.

5. Penghargaan terhadap potensi diri pelajar.

6. Kepimpinan melalui teladan.
                            Doa Sekolah


Bismillahirrahmanirrahim,
Al Hamdulillah, Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan semesta alam, Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w.
Ya Allah Ya Tuhan kami,
Pada pagi yang mulia ini, kami merayu dan memohon kepada-Mu agar diampuni segala dosa-dosa kami, dosa-dosa kedua ibu bapa kami, dosa-dosa guru kami dan dosa sekalian penghuni SMDAS ini, sama ada yang terdahulu atau terkemudian, yang kami sembunyikan atau yang kami nyatakan dan yang Dikau lebih mengetahuinya daripada kami.
Ya Allah Ya Tuhan kami,
Jadikanlah pertemuan dan perhimpunan kami pada pagi ini sebagai satu perhimpunan yang dirahmati lagi diberkati dan jadikanlah perpisahan kami selepas ini sebagai satu perpisahan yang terpelihara dan terlepas dari kemurkaan azab-Mu Ya Allah.
Ya Allah Ya Tuhan kami,
Keluarkanlah kami dari kegelapan ragu-ragu, kurniakanlah kami dengan sinaran kefahaman, bukakanlah bagi kami makrifat ilmu dan hiasilah akhlak kami dengan akhlak yang mulia.
Wa Sallallahu Alaihi Syaiidina Muhammad,
Wa Ala Alihi Wa Sahbihi Wa Salam,
Wal Hamdulillahi Rabbil Alamin.



Lagu Sekolah



Harum namamu
SMDAS wahana ilmu
Jadikan pedoman
Ilmu suluh kehidupan
Berdedikasi, berdisiplin, berharmoni
Ganding bahu bersama
Kita menuju jaya

Curahkanlah keringat
Berjuang penuh semangat
Ilmu suluh kehidupan
Wacana berwawasan

Bersamalah
Kitalah satu keluarga
Berdoalah
SMDAS maju jaya (2 kali).


Ikrar Sekolah


Bahawa kami
Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Samad
Berjanji dan berikrar
Akan melaksanakan dengan sebaik-baiknya
Segala kehendak-kehendak sekolah kami
Iaitu

Sentiasa patuh dan taat pada undang-undang sekolah
Sentiasa menjadikan diri kami berbudi mulia dan berdisiplin
Demi kejayaan dan kesejahteraan
Akan berkhidmat dan belajar dengan jujur dan ikhlas
Akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara
Dan akan mengamalkannya
Tidak rela mencemarkan nama baik sekolah
Guru dan diri sendiri.